Hujan mula turun pada petang Sabtu 30 October dan berlarutan sehingga pagi Isnin 1 November. Air sungai naik sedikit demi sedikit sehingga hampir ke gigi jalan pada petang Ahad 31 Oktober tetapi kami masih mengharap apabila hujan berhenti, air akan surut ke sungai semula. Khabar kononnya Sang Raja akan murka jika banjir kembali melanda kawasan istana menyebabkan hati merasa lega. Tak mungkin banjir akan melanda. 2005 adalah yang terakhir kalinya. Ternyata khabar murka Sang Raja hanyalah angin semata. Kuasa Allah swt tiada siapa dapat melawannya. Hendak murka pada siapa, siapa patut murka pada siapa? Kita atau Yang Maha Pencipta? Siapa yang Maha Berkuasa? Allah swt atau Sang Raja?
Tatkala dunia dikejutkan dengan pelbagai bencana, di Indonesia, Merapi mengamuk meluahkan lava, asap dan debu memenuhi udara ditambah pula tsunami melanda, gempa bumi menggegarkan suasana, puting beliung disini sana, kami hanya diancam banjir semata.
Air mula surut pada petang Jumaat 5 November dan surut sepenuhnya pada petang Sabtu 6 November. Abah, Mak, Azwan, Mat dan jiran tetangga mula membersihkan selut yang mencecah buku lali di dalam rumah. Maknjang tidak turut serta pada hari Sabtu untuk menjaga keluarga yang kurang upaya yang tinggal bersama di rumah sementara kami. Dan kalau Maknjang ikut sekali pun, rasanya bukan dapat nak tolong apa-apa sebab geli geleman dan pelbagai lagi perasaan.
Alhamdulillah sepanjang menantikan air surut, kami tinggal dalam keadaan yang amat selesa di Homestay Vistana milik adik ipar Maknjang di Jalan Langgar. Ketika mangsa-mangsa lain terpaksa tinggal disekolah-sekolah dan khemah-khemah yang serba kekurangan dan bekalan air paip yang ketandusan, kami tinggal selesa dirumah yang besar bertilam dan berbantal. Bekalan letrik dan air paip berterusan. Kami mungkin menumpang rahmat Abang Non yang cacat dan tak berupaya, kemana-mana pun perlukan perkhidmatan ambulan. Walaupun setiap hari asyik memikirkan rumah yang tenggelam, apabila melihat berita bencana yang lebih dasyat, hati menjadi tenteram. Sedikit amat dugaan kami ini Ya Tuhan berbanding dosa-dosa kami pada Mu.
Azwan akan balik ke Taman membuat tinjauan setiap hari sepanjang rumah ditenggelami air. Selama empat hari, kami mendengar berita yang sama, dari jauh, rumah hanya nampak bumbung sahaja. Berdebar-debar dada Maknjang memikirkan barang-barang yang ditinggalkan didalam bilik. Laptop, printer, dokumen-dokumen penting semuanya telah diangkat lebih 2 kaki dari paras air pada tahun 2005. Kerana kita sangka, tidak mungkin air akan mencecah lebih tinggi dari biasa. Kuasa Allah swt air naik luarbiasa. Semua perabot dan alat letrik telah diangkat ke dapur yang parasnya 4 kaki lebih tinggi dari tanah. Kami sangka itu sudah cukup untuk selamatkan semuanya. Allah swt duga kami dengan air semata, kami sudah merasa cukup gundah gulana. Apalah nasib perabot dan peralatan letrik disana. Baju-baju kami semua bagaimana. 5 hari berlalu barulah air berundur kesungai semula.
Hari Ahad, Maknjang ikut pulang ke Taman, hancur luluh hati rasanya melihatkan suasana. 2 batang pokok besar tumbang di jalan menuju ke rumah kami menghalang kami menggunakan jalan yang biasa. Bau busuk menusuk sukma. Sampah sarap merata-rata. Selut tebal menyeliputi segala benda. Semua perkakas didalam dapur berantakan, terbalik lintang pukang semuanya. Baunya... tak boleh Maknjang nak cerita. Air paip ketandusan pula, kerja mencuci menjadi tergendala. Yang mampu dibuat hanyalah mengutip barang-barang berharga dan apa saja yang rasanya seperti masih berguna.
Hari ni sudah 8 hari kerja pemulihan bermula, tapi masih banyak yang belum habis dicuci semula. Petiais dan barang-barang elektrik lain masih belum tahu samada masih berguna. Maknjang sekarang di KL kerana tugas, tapi hati berada disana. Kasihan Mak, Abah dan Azwan yang hari-hari berkerja keras mencuci segala. Alhamdulillah ramai yang datang menyumbang tenaga. Setiap hari disediakan makanan percuma oleh ahli tentera, walaupun ala kadar, tetapi bagi yang sudah kehilangan segala, ala kadar pun amat bermakna.
Memang penat dan sakit seluruh anggota,
menggosok selut dilantai yang mencecah buku lali.
Syukur Ya Allah, kami masih ada rumah untuk dihuni.
mencuci kain baju yang basah kesemuanya.
Syukur Ya Allah, kami masih ada kain baju untuk dipakai semula.
memberus pinggan mangkuk periuk belanga.
Syukur Ya Allah, pinggan mangkuk periuk belanga kami masih ada.
mengangkat membuang perabut yang sudah tak boleh diguna
Syukur Ya Allah, semakin bertambah ruang didalam rumah, kami akan lebih selesa.
Syukur Ya Allah kerana yang rosak dan yang musnah hanyalah harta dunia semata-mata.
Syukur Ya Allah, kami sekeluarga selamat tanpa sebarang cacat cela.
Syukur ku padaMu Ya Allah, kerana memberikan kami ketabahan, kesabaran dan keupayaan menghadapi dugaanMu ini. Semoga segala kesusahan yang kami lalui ini menjadi kafarrah kepada dosa-dosa kami padaMu Ya Allah.